Keluar Darah Semasa Hamil? Apa Hukumnya

KELUAR DARAH SEMASA HAMIL
Perdarahan awal kehamilan (biasa kurang dari 5 bulan) dikaitkan dengan keguguran. Terbahagi kepada empat keadaan di mana:
1. Perdarahan yang menyebabkan keguguran terus dan tiada bayi selamat. (Complete/incomplete/missed abortion).
2. Perdarahan akibat ancaman kepada janin (threatened abortion), bayi akan selamat sehingga besar.
3. Perdarahan kemasan tapak janin (implantation bleeding), biasanya bayi akan selamat membesar.
4. Tidak diketahui punca (Indeterminate bleeding), biasaya berpunca dari pendarahan di sekitar pangkal rahim. Bayi akan selamat membesar.
Para ibu hamil akan bertanya status ibadah mereka. Ini adalah jawapan kepada persoalan keadaan 1 diatas. Ianya dinyatakan dengan jelas oleh Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi rhm.
Beliau menyatakan (Al-Qalyubi, Shihabuddeen Ahmad Ibn Ahmad (2003), Hasyiyata Qalyubi Wa Umayrah, et.all, cet.2, Beirut : Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.1, ms. 93)  :
يثبت للعلقة من أحكام الولادة وجوبُ الغسل وفطر الصائمة بها ، وتسمية الدم عقبها نفاسا، ويثبت للمضغة ذلك
Terjemahan : Hukum-hukum [berkaitan] wiladah yang sabit bagi alaqah [yang keluar dari tubuh wanita ialah] kewajipan mandi, berbukanya [wanita] yang berpuasa, penamaan darah [yang keluar] sejurusnya (iaitu alaqah) sebagai nifas. Dan sabit [juga] bagi mudghah [yang keluar dari tubuh wanita, hukum hakam] sedemikian.
Wiladah, alaqah dan mudghah masing-masing bermaksud kelahiran anak, ketulan darah dan ketulan daging.
Kenyataan di atas jelas menyamakan wanita yang keguguran dengan wanita yang melahirkan anak. Iaitu dari segi hukum hakam.
Ia seperti kewajipan mandi, terbatal puasa dan darah yang keluar sejurus keguguran, juga dinamakan darah nifas.
Dalam erti kata lain, wanita yang keguguran, wajib mandi. Puasanya juga terbatal. Manakala darah yang keluar sejurus keguguran, adalah darah nifas.
Justeru, ditegah ke atasnya melakukan apa yang ditegah ke atas wanita yang keluar darah nifas sejurus melahirkan anak.
Yang dimaksudkan dengan ‘wanita yang keguguran’ di sini, ialah wanita yang keluar daripada tubuhnya ketulan-ketulan darah atau daging akibat keguguran.
*Penulis: Darah yang keluar sebelum keluar ‘ketulan-ketulan darah’ juga termasuk darah keguguran dengan syarat disahkan oleh doktor yang pakar dalam membuat diagnosa ultrasound bahawa seseorang wanita itu hamil.
Kesimpulannya, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar dari tubuhnya ketulan darah atau daging, diiringi dengan darah nifas, wajib ke atasnya mandi wajib. Iaitu wajib mandi setelah darah nifas berhenti mengalir.
Tempoh minimum nifas adalah sedetik/seketika atau minimum 40 hari dan maksimum 60 hari. Jika sekiranya sedetik dan kering melebihi 15 hari bermakna beliau telah suci dan boleh mandi. Jika sekiranya darah keluar lagi dalam masa 15 hari berikutnya, maka bolehlah beliau menunggu tempoh 40 hari bagi tempoh nifasnya.
Dalam tempoh tersebut (40 hari), andai sekiranya darahnya sudah kering melebihi sehari, maka wajib baginya mandi dan meneruskan ibadah. Andai sekiranya selepas dari itu perdarahan turun kembali, maka ia masih dikira darah nifas, segala hukum darah nifas masih terpakai.
Nota: Darah yang keluar dalam keadaan bernombor 2 hingga 4 di atas adalah darah istihadhah.
Wallahuaklam.
Dr Suhazeli Abdullah
26.4.2016