Keluar Darah Semasa Hamil? Apa Hukumnya

KELUAR DARAH SEMASA HAMIL
Perdarahan awal kehamilan (biasa kurang dari 5 bulan) dikaitkan dengan keguguran. Terbahagi kepada empat keadaan di mana:
1. Perdarahan yang menyebabkan keguguran terus dan tiada bayi selamat. (Complete/incomplete/missed abortion).
2. Perdarahan akibat ancaman kepada janin (threatened abortion), bayi akan selamat sehingga besar.
3. Perdarahan kemasan tapak janin (implantation bleeding), biasanya bayi akan selamat membesar.
4. Tidak diketahui punca (Indeterminate bleeding), biasaya berpunca dari pendarahan di sekitar pangkal rahim. Bayi akan selamat membesar.
Para ibu hamil akan bertanya status ibadah mereka. Ini adalah jawapan kepada persoalan keadaan 1 diatas. Ianya dinyatakan dengan jelas oleh Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi rhm.
Beliau menyatakan (Al-Qalyubi, Shihabuddeen Ahmad Ibn Ahmad (2003), Hasyiyata Qalyubi Wa Umayrah, et.all, cet.2, Beirut : Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.1, ms. 93)  :
يثبت للعلقة من أحكام الولادة وجوبُ الغسل وفطر الصائمة بها ، وتسمية الدم عقبها نفاسا، ويثبت للمضغة ذلك
Terjemahan : Hukum-hukum [berkaitan] wiladah yang sabit bagi alaqah [yang keluar dari tubuh wanita ialah] kewajipan mandi, berbukanya [wanita] yang berpuasa, penamaan darah [yang keluar] sejurusnya (iaitu alaqah) sebagai nifas. Dan sabit [juga] bagi mudghah [yang keluar dari tubuh wanita, hukum hakam] sedemikian.
Wiladah, alaqah dan mudghah masing-masing bermaksud kelahiran anak, ketulan darah dan ketulan daging.
Kenyataan di atas jelas menyamakan wanita yang keguguran dengan wanita yang melahirkan anak. Iaitu dari segi hukum hakam.
Ia seperti kewajipan mandi, terbatal puasa dan darah yang keluar sejurus keguguran, juga dinamakan darah nifas.
Dalam erti kata lain, wanita yang keguguran, wajib mandi. Puasanya juga terbatal. Manakala darah yang keluar sejurus keguguran, adalah darah nifas.
Justeru, ditegah ke atasnya melakukan apa yang ditegah ke atas wanita yang keluar darah nifas sejurus melahirkan anak.
Yang dimaksudkan dengan ‘wanita yang keguguran’ di sini, ialah wanita yang keluar daripada tubuhnya ketulan-ketulan darah atau daging akibat keguguran.
*Penulis: Darah yang keluar sebelum keluar ‘ketulan-ketulan darah’ juga termasuk darah keguguran dengan syarat disahkan oleh doktor yang pakar dalam membuat diagnosa ultrasound bahawa seseorang wanita itu hamil.
Kesimpulannya, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar dari tubuhnya ketulan darah atau daging, diiringi dengan darah nifas, wajib ke atasnya mandi wajib. Iaitu wajib mandi setelah darah nifas berhenti mengalir.
Tempoh minimum nifas adalah sedetik/seketika atau minimum 40 hari dan maksimum 60 hari. Jika sekiranya sedetik dan kering melebihi 15 hari bermakna beliau telah suci dan boleh mandi. Jika sekiranya darah keluar lagi dalam masa 15 hari berikutnya, maka bolehlah beliau menunggu tempoh 40 hari bagi tempoh nifasnya.
Dalam tempoh tersebut (40 hari), andai sekiranya darahnya sudah kering melebihi sehari, maka wajib baginya mandi dan meneruskan ibadah. Andai sekiranya selepas dari itu perdarahan turun kembali, maka ia masih dikira darah nifas, segala hukum darah nifas masih terpakai.
Nota: Darah yang keluar dalam keadaan bernombor 2 hingga 4 di atas adalah darah istihadhah.
Wallahuaklam.
Dr Suhazeli Abdullah
26.4.2016

ISTIHADOH DAN WANITA

 

Assalamualaikum.

===========
Kepada : Dr .Suhazeli
Kategori: Istihadoh
Soalan;
Dr yang di rahmati Allah
1. Apakah kesan istihadoh kepada kesihatan rahim wanita
2. Dr sudut pandangan pakar perubatan ,apakah nasihat kepada wanita yang mengalami masaalah Istihadoh? Penjagaan dan pencegahan yang perlu di lakukan.
3. Apakah yang perlu di lakukan  jika masaalah istihadoh ini berterusan.
4. Dr sudut pandangan pakar perubatan, adakah benar warna darah istihadoh lebih cair .
Sekian soalan saya
Pn. Faizah
Sekian
JAWAPAN
Darah Istihadhah
Apa maksud darah istihadhah?
Perdarahan wanita sepanjang tempoh umur subur* terbahagi kepada beberapa keadaan
a) Kitaran bulanan yang tetap mengikut uruf seseorang. Majoriti wanita berlaku perdarahan sebulan sekali. Ini diberi nama darah haid. Terdapat juga wanita yang kitaran haid mereka dua atau tiga bulan sekali secara tetap.
b) Perdarahan semasa hamil. Perdarahan ini berlaku akibat beberapa keadaan**:
i) keguguran,
ii) perdarahan kerana uri berada dibahagian bawah peranakan,
iii) luka dimana-mana bahagian peranakan
iv) proses awal sebelum bersalin.
c) Perdaharan selepas bersalin. Diberi nama darah nifas.
d) Perdarahan yang tidak menentu ketika awal akil baligh atau dipenghujung usia subur (hampir putus haid).
e) Perdarahan akibat gangguan penyakit dalaman samada
i) gangguan fizikal (ketumbuhan/kanser)
ii) gangguan hormon kerana penyakit tertentu atau mengambil terapi hormon.
*Tempoh umur subur: Bermula akil baligh hingga putus haid.
** Keluar darah semasa hamil, saya hurai dalam topik lain.
Dr Wahbah Az Zuhaily pula mengkategorikan darah ISTIHADHAH ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan nifas (keadaan a, b(i) dan c di atas).
Justeru Darah istihadhah merangkumi;[1]
a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.
b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas (60 hari).
e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki.
f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid
Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).[2]
Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;
1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.
Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; “Tidak”. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.
2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.
Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).
Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.
3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.
Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).
Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?
Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya “أحكام المرأة” (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).
Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?
Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).
Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.
Bagaimana cara wanita yang menghadapi masalah istihadhah mengambil wudhuk? Adakah terdapat perbezaan dengan wanita suci lain yang tidak menghadapi masalah istihadhah?
Ya, ada perbezaan. Wanita yang mengalamai masalah istihadhah walaupun menyamai hukum wanita yang suci secara amnya sebagaimana dinyatakan tadi, namun ada sedikit perbezaan antaranya dengan wanita suci yang lain memandangkan darah masih keluar dari farajnya. Perbezaan itu ialah;
1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wudhuk jika ingin mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wudhuk sebelum masuknya waktu kerana wudhuknya hanyalah wudhuk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.
2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wudhuk hanya untuk satu solat fardhu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardhu (seperti solat qadha, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wudhuknya. Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wudhuk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wudhuk seberapa banyak solat fardhu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.[4]
3. Sebelum mengambil wudhuk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wudhuk.
4. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.
5. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.
6. Sebahagian ulamak mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.
Adakah wanita istihadhah harus disetubuhi suaminya?
Berlaku khilaf di kalangan ulamak;
1. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); harus bagi suaminya mensetubuhinya sekalipun darah sedang keluar dari kemaluannya.
2. Menurut Imam an-Nakha’ie dan al-Hakam; dilarang mensetubuhinya kerana diriwayatkan dari Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa beliau menegah suami mensetubuhi isterinya yang istihadhah.
3. Imam Ibnu Sirin memakruhkannya.
4. Berkata Imam Ahmad; Tidak harus mensetubuhinya kecuali jika terlalu lama istihadhahnya. Dalam satu riwayat yang lain darinya; Tidak harus kecuali jika ditakuti suaminya akan berbuat dosa (zina dan sebagainya).
Nota Hujung;
[1] Wahbah Zuhaili, 1/478.
[2] Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.
[3] Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, 1/93-96

Kesan Penyusuan melebihi tempoh 3 tahun

Assalamualaikum
…………
Kepada: Dr Suhazeli

Daripada: Puan Faizah
Kategori:
Penyusuan Bayi
Soalan:

Apakah kesan kepada kesihatan ibu, jika masih menyusukan anak selepas tempoh 3 tahun, saya pernah dengar,ibu mungkin mengalami masaalah kekurangan kalsium.
JAWAPAN
Jika susu ibu masih ada boleh shj diteruskan,  tapi komposisi nutrients mungkin dah berkurangan. Ibu mungkin kekurangan kalsium jika ibu itu sendiri tak cukup pengambilan kalsium dari makanannya. Jadi,  ibu perlu cukup makan dahulu. Cuma untuk anak yang sudah 3 tahun, perlu ada makanan dari makanan pejal. Tak boleh bergantung pd susu ibu shj.  Takut akan kekurangan berat badan dan mempunyai masalah perkembangan mental dan fizikal nanti.
28.4.2016

 

Persoalan bagaimana mahu menentukan iddah haidh dan iddah istihadoh.

HAID

Bab darah wanita..dan solat serta puasa

Wanita yg tidak tentu haid nya sukar menentukan yg mana edah haid dan yg mana edah istihadah.
Ada 2 pendapat yg saya selalu nasihatkan kepada pesakit.

Kalau dia pernah suatu ketika dulu pernah ada kitaran normal. Cth. Sebelum ni dia datang haid ,Setiap tengah bulan dan edah nya 9 hari maksimum. ..problem timbul Setelah ada adenomyiosis..haid jadi tak menentu sangat2.
Saya nasihat agar dia kira yg TENGAH bulan itu haid..
Dan ambil 9 sebagai maksimum limit haid. Selebihnya adalah istihadah.
JAWAPAN

Darah yang keluar dari kemaluan wanita dikategori sebagai jika memenuhi semua perkara berikut:

1-Umur wanita tersebut 9 tahun Hijrah dan ke atas
2-warna darah tersebut samada warna hitam atau merah atau kuning atau warna tanah atau keruh.

3-keluar melebihi satu hari satu malam

4-keluar tidak melebihi 15 hari 15 malam
5- jarak haid terakhir sebelumnya dengan permulaan haid berikutnya ialah 15 hari ke atas.

Contoh :

1 hb febuari tarikh haid terakhir sebelumnya, tarikh haid seterusnya ialah 17 hb. Febuari.

Jika darah berikutnya keluar sebelum 15 hari dari tarikh 1 hb febuari, darah tersebut dianggap sebagai istihadah iaitu darah penyakit.

Maksud istihadah ialah darah yang keluar itu mungkin semua bukan haid atau ada darah haid di dalamnya dan ada yang bukan haid.
Jika seorang wanita keluar darah seperti berikut:

Januari 1- 10hb

Febuari 4-6hb

Jun 2-4 hb
ISTIHADAH

Darah yang keluar yang tidak memenuhi syarat-syarat haid. Seperti tidak cukup sehari semalam atau melebihi 15 hari.

Semua darah itu adalah haid kerana memenuhi syarat-syarat haid.
Dalam kes di atas jika berlaku kitaran haid tidak teratur, tetapi memenuhi syarat-syarat haid, ia dianggap haid.

WALLAHUA’LAM
BACAAN TAMBAHAN

BUKU PENCIPTAAN MANUSIA ANTARA PERUBATAN DAN AL QURAN

(The Creation of Man Between Medicine and the Quran )

by Mohammed Ali Albar